Aku seperti terpanggil untuk diperkatakan apakah ini yang terakhir.
Bila membuka koleksi foto di dalam 'external hard disk' memori kembali mengimbas detik-detik pahit manis menjalankan tugas sebagi Juru Kamera Berita UMNOtv. Berhujan panas... berlari berjalan... suka duka semuanya bercampur baur. Semua ini kerana minat yang mendalam dalam bidang yang aku minati sejak di bangku sekolah lagi. Aku antara yang bertuah dapat memasuki dunia atau industri penyiaran yang sekarang anak-anak muda berlumba-lu mba mahu memasukinya. Pelbagai cara mereka cuba untuk menjadi warga penyiaran. Memilihi kursus berkaitan di menara gading... jalan yang paling mudah mencuba nasib dalam realiti tv.
Tentu engkau orang semua tertanya-tanya bagaimana aku boleh terjebak dalam industri glamor ini?
Semuanya kerana minat yang mendalam. Mula melangkah ke dunia penyiaran sebagai budak rakam khanah (music librarian) di Best 104 dan seterusnya menjadi penyampai radio sambilan pengganti penyampai yang bercuti. Suara penyampai radio dicungkil oleh seorang DJ di sana saudara Bobby Burhan Din, senior aku waktu itu. Untuk pengetahuan semua, waktu Best 104 belum lagi di komersial kan seperti sekarang dan telah wujud 4-5 tahun sebelum aku bersama mereka. Rakan sekerja waktu itu, Najman Muhammad, Zaidi zainal (sekarang di Sinar FM) dan beberapa nama lagi yang sudah berpindah ke station lain dan bersara. Atas sebab tertentu akan menamat perkhidmatan di Best 104.
Aku mencuba nasib pula dengan menghantar surat permohon di Sistem Televisyen Malaysia Berhad yang lebih dikenali sebagai TV3. Aku menghantar 2-3 permohonan pelbagai jawatan. Tidak lama kemudian datang surat panggilan temuduga ke TV3, aku pun tidak tahu permohonan yang mana satu terpilih. Maka aku bersiap untuk ke Kuala Lumpur (bukan kali pertama ke sana). Kebetulan adik aku memang sudah bermastautin di KL, apa lagi peluang aku untuk menumpang di rumahnya sementara waktu.
Hari temuduga. Lokasi temuduga di Jalan Liku, Bangsar. Aku agak hairan, TV3 yang panggil untuk temuduga, kenapa sesi itu dilakukan bukan di Sri pentas? Masih jelas di ingatan aku, ada 3 panel yang mengendalikan sesi tersebut, seorang yang agak santai pakaiannya dan 2 orang lagi seperti pekerja yang duduk di pejabat sahaja. Pelbagai soalan diajukan kepada aku. Hanya yang ingat aku memberitahu mereka, aku tidak belajar tinggi, tidak mempunyai apa sijil kecuali SPM (yang hujung-hujung mati lemas), yang dalam diri aku cuma minat yang teramat mendalam dalam bidang penyiaran ini dan ingin merasai dunia televisyen. Respon yang aku dapat dari salah seorang panel (yang berpakaian santai), dia berkata sijil bukan menentukan segalanya, minat dan kerja kuat untuk mencapai kejayaan itu adalah paling utama. Aku gembira dengan kata-kata itu. Keputusan temuduga aku berjaya 'join' TV3 dan diletakkan aku di bawah salah satu anak syarikat mereka yang sedang meningkat naik iaitu SmartShop. Jawatan yang diberikan kepada aku ialah Pembantu Penerbitan atau Production Assistant. Satu jawatan bawahan dalam sesebuah produksi. Ahhh... aku tidak kisah, asalkan aku dapat maduk dalam industri penyiaran tv. Dulu radio kini naik taraf ke tv pula... best kan?
Aku belajar semuanya. Dari transfer deck to deck. Menulis skrip informersial. Melukis storyboard (walaupun tidak sesempurna pelukis handalan). Mengendali sesebuah produksi dan pelbagai tugasan yang belum pernah aku buat. Di maki hamun dianggap standard bagi orang produksi. semua itu asam garam manusia yang hidup dalam dunia ini. Aku dididik dengan agak kasar dan mungkin sebab itu lah aku sampai ke tahap ini. Kerjaya aku tidak lama di sini. Pergolakan politik tanah air meleburkan karier aku di TV3. kebanyakan anak syarikat ditutup dan di beri VSS. Aku sambut dengan terpaksa. Pengalaman bersama dunia tv aku bungkus dalam bunjut kain lalu digalas bersama sebatang kayu di bahu.
Aku masuk ke dunia freelancer. Di sini aku menambah lagi ilmu dan pengalaman. Belajar editing visual... belajar edit grafik... belajar operate camera... sifu aku cik li atau nama sebenarnya Roseli zainor. Beliau salah seorang antara nama panas ketika di TV3 dan staf yang ke 200 lebih nombor pekerja, maksudnya batch antara yang terawal.
|
Comments