Pahit Getir Kehidupan...



 
Bila membuka koleksi foto di dalam 'external hard disk' memori kembali mengimbas detik-detik pahit manis menjalankan tugas sebagi Juru Kamera Berita UMNOtv. Berhujan panas... berlari berjalan... suka duka semuanya bercampur baur. Semua ini kerana minat yang mendalam dalam bidang yang aku minati sejak di bangku sekolah lagi.

Aku antara yang bertuah dapat memasuki dunia atau industri penyiaran yang sekarang anak-anak muda berlumba-lu mba mahu memasukinya. Pelbagai cara mereka cuba untuk menjadi warga penyiaran. Memilihi kursus berkaitan di menara gading... jalan yang paling mudah mencuba nasib dalam realiti tv.

Tentu engkau orang semua tertanya-tanya bagaimana aku boleh terjebak dalam industri glamor ini?

Semuanya kerana minat yang mendalam. Mula melangkah ke dunia penyiaran sebagai budak rakam khanah (music librarian) di Best 104 dan seterusnya menjadi penyampai radio sambilan pengganti penyampai yang bercuti. Suara penyampai radio dicungkil oleh seorang DJ di sana saudara Bobby Burhan Din, senior aku waktu itu. Untuk pengetahuan semua, waktu Best 104 belum lagi di komersial kan seperti sekarang dan telah wujud 4-5 tahun sebelum aku bersama mereka. Rakan sekerja waktu itu, Najman Muhammad, Zaidi zainal (sekarang di Sinar FM) dan beberapa nama lagi yang sudah berpindah ke station lain dan bersara. Atas sebab tertentu akan menamat perkhidmatan di Best 104.

Aku mencuba nasib pula dengan menghantar surat permohon di Sistem Televisyen Malaysia Berhad yang lebih dikenali sebagai TV3. Aku menghantar 2-3 permohonan pelbagai jawatan. Tidak lama kemudian datang surat panggilan temuduga ke TV3, aku pun tidak tahu permohonan yang mana satu terpilih. Maka aku bersiap untuk ke Kuala Lumpur (bukan kali pertama ke sana). Kebetulan adik aku memang sudah bermastautin di KL, apa lagi peluang aku untuk menumpang di rumahnya sementara waktu. 

Hari temuduga. Lokasi temuduga di Jalan Liku, Bangsar. Aku agak hairan, TV3 yang panggil untuk temuduga, kenapa sesi itu dilakukan bukan di Sri pentas? Masih jelas di ingatan aku, ada 3 panel yang mengendalikan sesi tersebut, seorang yang agak santai pakaiannya dan  2 orang lagi seperti pekerja yang duduk di pejabat sahaja. Pelbagai soalan diajukan kepada aku. Hanya yang ingat aku memberitahu mereka, aku tidak belajar tinggi, tidak mempunyai apa sijil kecuali SPM (yang hujung-hujung mati lemas), yang dalam diri aku cuma minat yang teramat mendalam dalam bidang penyiaran ini dan ingin merasai dunia televisyen. Respon yang aku dapat dari salah seorang panel (yang berpakaian santai), dia berkata sijil bukan menentukan segalanya, minat dan kerja kuat untuk mencapai kejayaan itu adalah paling utama. Aku gembira dengan kata-kata itu. Keputusan temuduga aku berjaya 'join' TV3 dan diletakkan aku di bawah salah satu anak syarikat mereka yang sedang meningkat naik iaitu SmartShop. Jawatan yang diberikan kepada aku ialah Pembantu Penerbitan atau Production Assistant. Satu jawatan bawahan dalam sesebuah produksi. Ahhh... aku tidak kisah, asalkan aku dapat maduk dalam industri penyiaran tv. Dulu radio kini naik taraf ke tv pula... best kan?

Aku belajar semuanya. Dari transfer deck to deck. Menulis skrip informersial. Melukis storyboard (walaupun tidak sesempurna pelukis handalan). Mengendali sesebuah produksi dan pelbagai tugasan yang belum pernah aku buat. Di maki hamun dianggap standard bagi orang produksi. semua itu asam garam manusia yang hidup dalam dunia ini. Aku dididik dengan agak kasar dan mungkin sebab itu lah aku sampai ke tahap ini. Kerjaya aku tidak lama di sini. Pergolakan politik tanah air meleburkan karier aku di TV3. kebanyakan anak syarikat ditutup dan di beri VSS. Aku sambut dengan terpaksa. Pengalaman bersama dunia tv aku bungkus dalam bunjut kain lalu digalas bersama sebatang kayu di bahu. 


Aku masuk ke dunia freelancer. Di sini aku menambah lagi ilmu dan pengalaman. Belajar editing visual... belajar edit grafik... belajar operate camera... sifu aku cik li atau nama sebenarnya Roseli zainor. Beliau salah seorang antara nama panas ketika di TV3 dan staf yang ke 200 lebih nombor pekerja, maksudnya batch antara yang terawal. 

Setiap ada produksi yang dia kendali sudah pasti aku menjadi assistantnya. Mungkin kelebihan aku sebagai pembantu sebab itu aku menjadi pilihannya. Dia jadi cameraman, aku jadi assistant. Dia jadi director, aku jadi assistant. Aku edit visual, dia duduk mengarah aku apa perlu buat. Samapi orang nampak aku ini dia (klon). Bukan itu sahaja kehidupan seharian dikongsi bersama. Susah sama susah... senang sama senang. Dia dan keluarganya sudah ku anggap saudara sendiri.

Tidak lama selepas itu, cik li kenalkan aku dengan Khalil. Menjadi seorang freelancer perlu ramai kenalan dalam industri. Aku dipelawa Khalil menjadi pembantu beliau sebagai Stringer RTM (cameraman bukan staf). Aku bertambah satu lagi pengalaman baru, masuk dunia berita (news) pula. Kalau ada job lain aku juga diajaknya. Ada visual untuk di edit, aku menjadi orang pertama di offer. Banyak produksi aku terlibat sepanjang bersama Khalil... cover event... direct video clip... edit macam-macam... Cik li sudah ada jalannya sendiri. Sekali sekala dia datang menjenguk.

Lama juga aku dengan Khalil. Cik li muncul offer aku bekerja di bawahnya, ketika itu beliau bertugas sebagai head cameraman di umnotv. Aku tanpa berfikir panjang, setuju dangan offer cik li. Nah! aku sudah bergelar cameraman news. Mula ikut-ikut sebagai pembantu, belajar selok belok sebagai cameraman news umnotv sebab selepas ini aku akan bekerja seorang tanpa pembantu.


Selang tidak beberapa lama, cik li diberhentikan perkhidmatannya atas sebab tertentu. Aku terkilan. Namun dia berpesan kepada supaya jangan berhenti selagi orang tidak memberhentikan aku. Aku pengang pesan itu. semakin hari, aku semakin mahir dengan pergerakan bila membuat liputan. Setiap gerak kerja yang aku lakukan berpandukan akal. Mata sentiasa awas, telinga sentiasa mendengar. Kebanyakan assignment yang aku perolehi semua 1st class assignment, level PM, TPM & Menteri2... Kalau sepatut menteri yang datang tetapi level Ketua Pengarah yang take over confirm aku & reporter belah balik. Pengalaman paling berharga assignment exclusive interview dengan PM, masa tu Pak lah jadi PM. Confirm bilik untuk interview di seal untuk orang lain selain orang penting di dalamnya. Banyak lagi experience yang boleh aku banggakan sewaktu bertugas sebagai cameraman umnotv.

Jodoh dengan umnotv tidak lama. Hayat portal webtv parti pemerintah dimatikan setelah peralihan kuasa. Aku sempat terlibat dengan perhimpunan agong umno 2009. Waktu itu pula tahun pemilihan pucuk pimpinan umno. Pak Lah melepaskan kuasa kepada Timbalannya Najib Tun Razak. Kami umnotv pula sebelum  ditutup berpindah sebanyak 2 kali, kampung Baru dan terakhir hentiannya di Kota Damansara.

Aku tidak banyak assignment Najib, sebab aku dipertanggungjawapkan untuk mengendalikan semua bahagian operasi dalam umnotv. Cuma sekali sekala keluar assignment untuk lepaskan gian. 

2 bulan selepas acara besar itu berlansung umnotv disemadikan tanpa kubur. Kami staf diberitahu oleh orang bertanggungjawap bahagian pentadbiran, menantu kepada salah seorang pengarah umnotv bahawa umnotv ditutup sebab tidak ada duit dalam akaun. Satu alasan yang tidak logik langsung di kepala aku. Untuk pengetahuan semua, pengarah tersebut juga adalah setiausaha kerja umno ketika zaman pak lah. kepala sudah tidak ada taring, habis orang bawah sembunyi kuku. Anak bangsa yang mencurah bakti turut terpalit. Begitulah senario politik tanah air kita.

Pada mulanya orang bangunan Dato Onn ada juga panggil  aku dan seorang rakan reporter. beria-ia mengorek rahsia pengurusan umnotv. Cara dia orang bercakap macam membela kami tapi selepas itu semua senyap. Kali akhir aku mendapat khabar, mereka seperti orang tidak bersalah menganiya anak bangsa ini dengan mengatakan biasalah orang baru masuk (setiausaha kerja baru umno), dia tidak suka dengan bos umnotv, sebab itu tidak mahu hidupkan semula umnotv.

Aku terpaksa akur dengan ketentuan Allah... hanya Allah mengetahui segalanya dan biarkan Allah sahaja membalasnya.

Aku menganggur lebih dari 7 bulan sejak umnotv ditutup. Sakit poket hanya Allah sahaja yang tahu. Isteri mendesak aku bekerja apa sahaja... sampai tahap aku disuruh jadi jaga (kerja security guard). Namun aku bertahan. Aku tidak mahu turun ke bawah... aku cekalkan hati untuk terus mendaki ke atas. Bertengkar pasal kerja entah berjuta kali dengan isteri ku. Aku berpegang teguh dengan pendirian ku. Ada offer buat pakej video kahwin aku belasah... kawan-kawan panggil assist production aku terima. Aku tidak mahu lari lagi dari bidang yang aku sayang ini.

Pengalaman semua bil dan belanja rumah ditanggung sepenuhnya oleh isteri aku... sewa rumah tertunggak sampai ke halau cara terhormat oleh tuan rumah... Aku hanya dapat support sikit-sikit sahaja, itu pun sekadar yang aku mampu. Hendak meminjam dengan kawan-kawan, tidak dilayani... lagi pun aku nak bayar guna apa? Begitu keperitan yang aku lalu selama 7 bulan.

Fikiran ku muncul nama Khalil, manalah tahu boleh Khalil bagi aku job. Aku sms Khalil bertanya khabar dan bertanya tentang job. Dia pantas menelefon aku, ajak aku jumpa sebab nak bagi aku job. Aku tanya kepada Khalil job apa? Setiausaha Kerja fdam (persatuan pengarah filem malaysia), katanya. Fikiran aku melayang jauh memikirkannya. Ini satu jawatan berat..

Aku bersama anak, Naqiuddin (sudah 7 bulan aku jaga anak kerana reduce bajet tidak mahu hantar ke pengasuh)  bertemu Khalil di pejabat fdam. Khalil menerangkan bahawa dia telah bercakap dengan presiden untuk mengambil aku bagi mengisi kekosongan jawatan itu. Aku terima walaupun dalam keadaan yang terpaksa sebab al maklum lah sudah lama tidak bekerja.

20 disember 2010, aku mula bertugas di fdam sebagai setiausaha kerja fdam, gaji yang ditawarkan mungkin agak rendah dengan gaji sebelumnya. Memandangkan jarak yang dekat dengan rumah dan tidak menempuh traffic jam sebab itu aku terima. Aku sekarang bergelumang pula dengan industri filem. Tidak pernah tahu pergolakkan dalam industri, sekarang semuanya dalam poket aku...

Kerja terlalu sibuk... kadang-kadang sahaja dapat merasa kelegaan tapi semua itu sebentar sahaja. Aku dalam beranggungjawap dengan pentadbiran, sememang tidak senang duduk, ada sahaja kerja yang perlu dibereskan dan tidak beres pun sebenarnya...

Alhamdullillah... rezeki sememangnya dari Allah dan sudah tertulis di Lohmahfuz... kita hanya perlu berdoa... berusaha dengan kuat... sentiasa tawakal... dan redha dengan ketentuan Allah... pastinya dengan ada semua ini... Allah sentiasa bersama kita... 

Wallahu'alam...

Comments

Popular Posts